Pages

Friday, March 22, 2013

#01: 'TENGKU ONG' DIDAKWA DI MAHKAMAH.

Seorang ahli perniagaan, Ong Kean Suan, 31, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dakwaan menyamar sebagai 'Tengku Ong' dan mengaku sebagai ahli keluarga diraja negeri Perak.

Kean Suan yang berasal dari Pulau Pinang didakwa melakukan kesalahan itu bagi mendapatkan diskaun bilik hotel mengikut kadar sama yang diterima pegawai kerajaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh ketika mendaftar masuk di Kaunter Eksekutif Daftar Masuk, Hotel Thistle Johor Bahru kira-kira jam 5.30 petang, 2 Februari lalu.

PENGAKUAN

Kean Suan bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd. Alias, tengahari tadi.

Mengikut kertas pertuduhan, Kean Suan didakwa secara menipu menggunakan gelaran Tengku dan mengaku dirinya sebagai ahli keluarga diraja Perak.

Tertuduh didakwa menggunakan sekeping kad VIP yang tertera gelaran dan nama Tengku Ong Kean Suan bagi meminta diskaun bilik mengikut harga sama yang ditawarkan kepada pegawai kerajaan.

Kean Suan yang hadir berbaju Cheongsam berwarna kuning didakwa mengikut Seksyen 419, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Mohd Afif Ali sementara tertuduh diwakili peguam bela, Gurmukh Singh.

IKAT JAMIN

Mohd. Afif menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun dibantah Gurmukh dengan alasan anak guamnya sudah memberi kerjasama yang baik semasa mula ditangkap.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan 5 April ditetapkan bagi penyerahan dokumen berkaitan dan sebutan semula kes.

Tertuduh membayar wang jaminan.


No comments:

Post a Comment