Pages

Monday, April 8, 2013

#34: DUA LELAKI GUNA GELARAN DATUK DAN YM ENGKU DIRAJA JOHOR PALSU DIHERET KE MAHKAMAH.


Dua lelaki menggunakan gelaran Datuk dan Yang Mulia Engku Diraja Johor palsu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, dengan lima pertuduhan melakukan penyamaran dan menipu.

Tertuduh, Lau Kok Chai, 65 dan Hamizan Maspar, 39, keduanya dari Muar dan tidak mempunyai pekerjaan tetap, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan bersama dan dua pertuduhan berasingan.





Kok Chai didakwa melakukan penyamaran mengaku memiliki gelaran penganugerahan Datuk daripada Sultan Johor dan menipu Asisten Superintenden Mohd Norazizi Badri.


Manakala Hamizan didakwa menipu pegawai polis yang sama menggunakan gelaran Yang Mulia Engku dari Kerabat Diraja Johor.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 14 dan 28 Mac lalu di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 419, Kanun Keseksaan kerana menipu dengan jalan samaran.

Sabit kesalahan setiap tertuduh berdepan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali.

Kok Chai selaku Presiden Pertubuhan Amal Perpaduan Negeri Johor (PERAJA Negeri Johor) dan Hamizan selaku Setiausaha Agung pertubuhan yang sama turut didakwa secara bersama memperdaya Low Keng Theong, untuk menyerahkan wang RM10,000 antara Februari dan Mac lalu.



Mereka turut didakwa memperdaya Ong Teow Keng untuk menyerahkan wang RM3,500 antara Januari dan Mac lalu.

Manakala tuduhan bersama ketiga, keduanya dituduh menipu Poobalan a/l Ponnysamy wang RM10,000 antara Februari dan Mac lalu.

Ketiga-tiga pertuduhan bersama itu didakwa memperdaya mangsa akan mendapat keahlian kehormat VVIP Pertubuhan Amal Perpaduan Negeri Johor.

Melalui bayaran itu, mangsa didakwa akan mendapat nombor kenderaan persendirian dengan perkataan Peraja Negeri Johor.


Mangsa juga diperdaya akan mendapat jemputan menghadiri majlis di seluruh negara dan mendapatkan pingat dari istana seluruh negara.

Setiap pertuduhan bersama ini didakwa mengikut Seksyen 420, Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohd Afif Ali menawarkan jaminan RM12,000 bagi setiap pertuduhan.

"Mintak kurang sikit, saya bukan kerja, kalau boleh kurangkan lagipun saya dah tua.

"Saya minta kurangkan jaminan. Kita dah tak kerja, taubat nasuha tak buat lagi" rayu Kok Chai sebelum Majistret Mohd Azlan Mohd Allias menetapkan jaminan.

"Mohon jaminan dikurangkan sebab saya tidak mempunyai kerja tetap," rayu Hamizan.

Kedua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mohd Azlan Shah membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM28,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Tarikh 22 April ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula semua pertuduhan.


No comments:

Post a Comment